Sumbangan Lepasan Mesir Dalam Bidang Pendidikan dan Penulisan di Tanah Melayu dan Indonesia, 1920-an Hingga 1970-an
Abstract
Sejak tahun 1920-an, terdapat peningkatan yang drastik dalam jumlah pelajar Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia yang menyambung pengajian Kaherah, khususnya di Universiti al-Azhar. Pelajar Melayu di Kaherah bukan sahaja terlibat dalam kegiatan persatuan dan penerbitan majalah, tetapi juga terlibat dalam kegiatan politik. Selepas pulang ke tanah air, lulusan Mesir telah memberikan sumbangan terhadap kemajuan pelbagai bidang, khususnya bidang pendidikan dan penulisan di Tanah Melayu dan Indonesia. Pengalaman dan pendedahan yang diperoleh semasa berada di Kaherah membantu mereka memajukan bidang pendidikan. Sekembalinya ke tanah air masing-masing, mereka menubuhkan dan menjadi tenaga pengajar madrasah dan sekolah agama. Di Tanah Melayu, lepasan Mesir seperti Muhammad Fadhlullah Suhaimi bukan sahaja terlibat dalam penubuhan madrasah dan sekolah Arab di Singapura, Johor dan Kelantan, tetapi juga pernah mengasaskan madrasah di Wonosobo, Jawa Timur. Di Indonesia pula, Abdul Kahar Muzakkir pernah terlibat secara langsung dalam penubuhan IAIN Sunan Kalijaga, Yogyakarta. Selain itu, lepasan Mesir juga terlibat dalam kegiatan penulisan, khususnya sebagai pengarang akhbar, majalah dan buku agama. Di Tanah Melayu, Abdul Wahab Abdullah pernah menjadi pengarang Saudara dan Bumiputera, manakala Muhammad Fadhlullah pula pernah dilantik sebagai pengarang majalah Temasek dan akhbar Utusan Melayu. Di Indonesia pula, Mahmud Yunus pernah menghasilkan buku berkenaan hukum perkahwinan, pendidikan Islam di Indonesia dan kitab tafsir al-Quran. Selepas Indonesia dan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, lepasan Mesir terus memberikan sumbangan yang penting terhadap kemajuan bidang pendidikan khususnya sebagai pendidik serta penulisan pelbagai bahan ilmiah di Tanah Melayu dan Indonesia.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.