Faktor Kemerosotan Sektor Perdagangan Mamluk (872-922H/1468- 1517M): Suatu Analisis Berdasarkan Sumber Sejarah

Wan Kamal Mujani

Abstract


Sektor perdagangan merupakan antara sumber pendapatan utama bagi ekonomi Mamluk. Kedudukan geografi dan lokasi yang strategik membolehkan negara tersebut memainkan peranan penting sebagai ‘orang tengah’ dalam transaksi dan pertukaran komoditi dagangan antara Barat dan Timur. Oleh itu, kerajaan Mamluk dilaporkan telah memperolehi keuntungan besar daripada kegiatan perdagangan berbentuk ‘transit dan eksport’ yang dijalankan. Meskipun aktiviti perdagangan tempatan dan antarabangsa masih berlangsung pada zaman
yang dikaji, namun beberapa perubahan telah dapat disaksikan dalam sektor tersebut. Beberapa buah pelabuhan dan pasar perniagaan berada dalam keadaan ‘lesu’, begitu juga dengan aktiviti perdagangan yang dilihat tidak begitu ‘bertenaga’ jika dibandingkan dengan zaman Mamluk Bahri (Turki). Secara umumnya, perdagangan di antara Mamluk dengan negara Barat dan Timur agak kurang ‘rancak’. Kadar eksport dan import barang dagangan tempatan dan luar negara tidak begitu tinggi dan tidak banyak seperti sebelumnya. Artikel ini
mendapati bahawa terdapat beberapa faktor dalaman dan luaran yang menjadi punca utama kepada kepada kemerosotan sektor perdagangan Mamluk di Mesir antara tahun 872-922H/1468-1517M. Antara faktor dalaman ialah kerajaan Mamluk telah memonopoli kebanyakan aktiviti perdagangan dan mengenakan cukai tinggi kepada peniaga tempatan dan asing. Ini telah memberi kesan negatif kepada kegiatan perdagangan pada ketika itu. Gangguan dan kekacauan yang dilakukan Julban (tentera diraja Mamluk) dan puak Badwi juga telah menjejaskan sektor perdagangan. Dalam keadaan yang tidak tenteram ini, sektor pedagangan tidak dapat berkembang. Faktor dalaman lain ialah serangan wabak taun di Mesir yang menyebabkan timbulnya beberapa masalah seperti kenaikan harga dan berkurangnya barang dagangan serta ketidakcukupan tenaga kerja.. Manakala faktor luaran yang menyebabkan kemerosotan sektor perdagangan Mamluk ialah ancaman lanun Eropah dan sekatan oleh pihak Portugis. Lanun Eropah telah menggugat perdagangan Mamluk di Laut Mediterranean dan Portugis pula menyekat perniagaan rempah yang sebelum itu dimonopoli oleh Mamluk.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.