STRATEGI BERKOMUNIKASI GENERASI MUDA MELAYU: ANALISIS LAKUAN BAHASA PENOLAKAN

NUR JANNAH AB RAHMAN, MASLIDA YUSOF

Abstract


Lakuan bahasa menolak bermaksud tuturan yang dihasilkan oleh tindak ilokusi yang tidak menerima atau mengkabulkan permintaan, undangan, cadangan, perintah, larangan atau tawaran. Hetti Waluati Triana dan Idris Aman (2011) berpendapat bahawa generasi muda pada hari ini cenderung memilih strategi yang lebih langsung dan kurang mengamalkan nilai-nilai kesantunan dalam budaya mereka. Namun demikian, Nasariah et al. (2010) menjelaskan bahawa masyarakat timur amat mementingkan kesopanan ketika menuturkan sesuatu perkara, misalnya membuat penolakan terhadap permintaan. Justeru, kajian ini bertujuan mengenal pasti pola dan strategi lakuan bahasa penolakan dalam kalangan generasi muda Melayu dan seterusnya menghuraikan kaitan antara strategi lakuan bahasa penolakan dengan aspek kesantunan. Dalam kajian ini, Taksonomi Penolakan yang dikemukakan oleh Beebe et al. (1990) telah diaplikasi sebagai kerangka analisis. Data kajian diperolehi melalui respon penolakan dalam Tugas Penyempurnaan Wacana (TPW) bertulis oleh 50 orang pelajar berbangsa Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berumur 20 hingga 30 tahun. Soalan-soalan TPW yang dikemukakan merangkumi empat kategori penolakan iaitu penolakan ajakan, tawaran, permintaan dan cadangan. Kajian mendapati bahawa responden cenderung untuk menggunakan strategi tidak langsung berbanding strategi langsung dalam membuat penolakan bagi semua kategori. Selain itu, terdapat penambahan yang boleh dilakukan dalam sipian penolakan yang dikemukakan oleh Beebe et al. (1990) bahawa terdapat penggunaan ungkapan bersifat ketuhanan dalam respon penolakan yang berfungsi untuk memulihkan keadaan. Hasil kajian juga mendapati bahawa strategi penolakan yang digunakan mempunyai perkaitan dengan aspek kesantunan. Hal ini juga menunjukkan bahawa generasi muda Melayu masih mengamalkan nilai-nilai kesantunan dalam membuat penolakan.

Kata kunci: generasi muda; kaedah tugas penyempurnaan wacana; komunikasi; lakuan bahasa penolakan; Melayu; taksonomi penolakan


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.