TAHAP PENGETAHUAN GURU MELAYU DALAM PENGAJARAN TATABAHASA BAHASA ARAB
Abstract
ABSTRAK
Kompetensi boleh ditakrifkan sebagai kemahiran generik, kemahiran asas, kemahiran utama, dan kemahiran personal yang merujuk kepada pengetahuan dan kemahiran serta sikap yang menjadi asas kepada tugasan atau prestasi kerja yang dipertanggungjawabkan merentasi semua bidang. Dalam senario pendidikan Malaysia, gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, memberi fokus kepada meningkatkan standard profesionalisme guru, iaitu berdasarkan Standard Guru Malaysia (SGM). Dalam konteks guru bahasa Arab, kompetensi yang paling penting adalah penguasaan bahasa. Oleh itu, objektif kajian ini adalah menilai tahap pengetahuan guru melayu dalam aspek sintaksis Bahasa Arab, dan mengenalpasti tajuk sintaksis yang menjadi kesukaran dalam kalangan guru bahasa Arab di SABK di Malaysia. Kajian ini melibatkan 218 guru melayu yang mengajar subjek bahasa Arab di SABK meliputi empat zon iaitu zon Utara, Timur, Selatan dan Tengah. Kajian ini berbentuk kuantitatif dengan menggunakan instrumen satu set soalan ujian kompetensi guru bahasa Arab yang diadaptasi dan dibangunkan berdasarkan kriteria guru bahasa Arab yang telah dikeluarkan dan diguna pakai oleh National Center for Assessment in Higher Education, Saudi Arabia. Instrumen kajian ini telah melalui proses kesahan pakar dan telah dirintis sebelum digunakan dalam kajian ini. Data yang diperoleh daripada soalan ujian dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 25. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan guru melayu dalam pengajaran sintaksis bahasa Arab di SABK berada pada tahap baik dengan min peratus 82% manakala tajuk sintaksis yang menjadi kesukaran kepada para responden adalah tajuk المنصوبات. Beberapa cadangan dikemukakan di akhir kajian bagi tujuan penambahbaikan dan pemantapan tahap pengetahuan guru melayu dalam pengajaran sintaksis bahasa Arab di SABK sebagai pelaksana Kurikulum Bersepadu Dini.
Kata kunci: tahap pengetahuan; guru; pengajaran; sintaksis; bahasa Arab.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.