Pembelajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua: Pengungkapan Idea dalam Penulisan Pelajar Sekolah Menengah di Malaysia

Norsimah Mat Awal, Nadzrah Abu Bakar, Nor Hashimah Jalaluddin

Abstract


Komponen penulisan karangan adalah salah satu komponen penting dalam pembelajaran bahasa Melayu dan diuji dalam Kertas I Bahasa Melayu dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kertas kerja ini akan membentangkan dapatan kajian mengenai penulisan pelajar sekolah menengah di Malaysia yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dengan memfokus pada pengungkapan idea dalam penulisan karangan. Secara khususnya kertas kerja ini melihat penggunaan ungkapan menarik dalam penulisan mereka. Ungkapan menarik yang dimaksudkan ialah penggunaan peribahasa, pantun, cogan kata, frasa menarik, petikan ucapan, kata-kata hikmat, petikan hadis, kosa kata yang cantik maksud, maksud ayat Al-Quran dan Iain-lain. Kajian dijalankan di lima kawasan iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak dan melibatkan lima belas buah sekolah (tiga sekolah di setiap kawasan). Dapatan umum kajian mendapati pencapaian para pelajar ini secara majoritinya adalah di tahap sederhana dan lebih dari 20% dianggap lemah. Di
samping itu pencapaian pelajar dari luar bandar didapati lebih baik dari pelajar bandar. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa majoriti pelajar ini yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua masih di tahap tidak memuaskan kerana tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Dengan yang demikian, usaha perlu dipertingkatkan untuk meningkatkan lagi pencapaian pelajar untuk menguasai bahasa Melayu kerana bahasa adalah salah satu jambatan bagi mengikat hubungan yang baik antara pelbagai kaum di Malaysia.

Kata kunci: Pembelajaran bahasa Melayu, penulisan karangan, bahasa kedua, ungkapan menarik, pencapaian pelajar


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.