BAHASA MURUT DI SABAH: SATU PAPARAN DINI
Abstract
Bahasa Murut merupakan salah satu bahasa yang dituturkan di Sabah. Penutur bahasa ini boleh ditemui di daerah Keningau, Tenom, Tambunan, Beaufort, Tawau dan daerah persempadanan antara Sabah dengan Sarawak dan Kalimantan. Dalam konteks Sabah, bahasa ini diandaikan sedang menongkah arus untuk proses pemertahanannya khusus dalam kalangan generasi mudanya. Memandangkan kurangnya tulisan yang memerihal tentang bahasa Murut di Sabah, maka perbincangan dalam makalah ini hanya akan memfokuskan kepada inventori fonem dan leksikal asas bahasa Murut. Data bahasa Murut dalam perbincangan ini merupakan hasil kerja lapangan di daerah Keningau, Sabah. Seramai empat orang informan dalam kalangan generasi muda telah ditemu bual untuk mendapatkan gambaran umum tentang penguasaan bahasa Murut dalam kalangan remaja di daerah ini. Kesemua informan berusia 16 tahun (Tingkatan 4), mereka dipilih bagi mewakili penguasaan leksikal Murut dalam kalangan remaja kerana mereka masih berada dalam alam persekolahan, dan terdedah kepada sistem pendidikan moden yang menyebabkan mereka sering bertembung dengan bahasa-bahasa lain khusus bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris. Pertembungan sedemikian akan secara tidak langsung mempengaruhi atau menggantikan terus bahasa asal. Hasil analisis memperlihatkan leksikal Murut masih dipertahankan dan mereka masih menguasai bahasa asal serta menuturkan bahasa berkenaan menggunakan leksikal asal tanpa memperlihatkan kata pinjaman, sekaligus data leksikal memaparkan inventori fonem bahasa ini. Keadaan sedemikian membuktikan bahawa para remaja Murut sedar bahawa mereka perlu mempertahan dan melestarikan bahasa Murut demi untuk kelangsungan bahasa berkenaan. Bagaimanapun, kajian lanjutan perlu dilakukan agar semua aspek linguistik bahasa ini dapat dipaparkan kepada khalayak. Makalah ini diharap dapat dijadikan sebagai catatan dan dokumentasi awal tentang bahasa masyarakat ini.
Kata Kunci: bahasa Murut; inventori fonem; Keningau; Orang Murut; Sabah
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.