PENANDA WACANA PERNYATAAN SEMULA DALAM WACANA KEAGAMAAN: SATU WACANA LISAN

NORHAYATI ALIAS, ALIA HAZWANI HAMIDON

Abstract


Penanda wacana pernyataan semula (PS) merupakan salah satu penanda wacana yang digunakan untuk menjelaskan sesuatu perkara yang tidak dinyatakan pada bahagian sebelumya. Proses PS membolehkan pewacana menyampaikan semula sesuatu mesej yang telah disampaikan dengan wajah yang berbeza Portolés Lázaro (1996, 2001). Proses tersebut membolehkan penyampai kembali semula kepada mesej terdahulu dan mengambil semula elemen wacana yang dikehendaki untuk disampaikan dengan cara yang berbeza berdasarkan fungsi dan tujuan tertentu (Martorell: 1996). Melalui proses PS, pewacana kembali semula kepada elemen sebelumnya dan memberikan tafsiran yang baharu kerana mesej yang disampaikan pada segmen yang pertama dirasakan tidak ‘sempurna’ (Norhayati 2021). Kajian ini akan meneliti proses pernyataan semula parafrasa penjelasan (PSP) wacana lisan. Bagi tujuan ini, sebanyak empat forum dari sebuah rancangan berbentuk keagamaan yang popular, iaitu Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan di TV1, RTM (Radio Televisyen Malaysia) telah dianalisis. Perbincangan dan analisis akan dilakukan berdasarkan teori pengelasan penanda wacana yang dilakukan oleh Martín Zorraquino dan Portolés Lázaro (1999). Bagi menjelaskan fungsi dan peranan penanda wacana PS pula, kajian ini menggunakan kajian dan penyelidikan oleh tokoh-tokoh terdahulu dalam bidang PS, iaitu Casado Velarde (1991), Figueras (1999) dan Garcés Gómez (2008) sebagai panduan. Manakala, Teori Relevan (TR) yang dikemukakan oleh Sperber dan Wilson (1986, 1995, dan 2004) pula akan digunakan bagi  menjelaskan makna yang dihasilkan dalam proses PS, yakni dari segi semantik dan pragmatik.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.