NILAI MORAL DALAM BANGSAWAN TUJUH GONG SAKTI
Abstract
Bangsawan Tujuh Gong Sakti karya Rohani Md. Yousoff telah dipentaskan pada tahun 2011 di Kota Kinabalu, Sabah di bawah arahan Sharip Zainal Sagkif Shek. Pada tahun 2015 skrip ini telah diterbitkan dalam Dewan Sastera dan selanjutnya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Tujuh Gong Sakti pada dasarnya memaparkan dinamik sosial sebuah masyarakat, yang berinspirasikan oleh cerita rakyat masyarakat etnik Dusun di Kota Belud, Sabah. Aspek sosiologi dalam cerita rakyat ini masih belum dikaji secara mendalam sebagai salah satu bahan ekspresi budaya masyarakat tempatan. Oleh itu, kajian ini mengupas aspek nilai moral yang terdapat di dalam Bangsawan Tujuh Gong Sakti (2015) dengan mengaplikasi pendekatan moral yang dikemukakan oleh Elliot Turiel (2002). Kaedah kajian jenis kualitatif dirangka dengan instrumen kajian perpustakaan, dan analisis kandungan. Pelbagai bahan seperti buku, artikel jurnal, tesis, dan skrip dan rakaman pementasan teater Bangsawan Tujuh Gong Sakti telah diteliti untuk memperolehi data. Selain itu temubual dilaksanakan bersama ahli keluarga dan kru produksi teater bangsawan Tujuh Gong Sakti untuk memperolehi data bagi latar belakang skrip dan pementasan teater tersebut. Analisis kandungan turut dilakukan terhadap rakaman teater Bangsawan Tujuh Gong Sakti yang dipentaskan pada tahun 2011. Dapatan kajian mendapati bahawa aspek nilai moral yang ketara dalam teater Bangsawan Tujuh Gong Sakti (2011) dikekalkan dalam skripnya. Cerita ini sarat memaparkan pelbagai nilai moral seperti masyarakat yang bijaksana, berani, bertanggungjawab, bekerjasama, berkasih sayang, ikhlas, prihatin, rasional, amanah, dan juga berkepimpinan. Subjek teater dan skrip ini memaparkan khazanah budaya dan masyarakat Sabah yang tinggi aspek kebudayaannya.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.