KONFLIK DIRI DALAM NOVEL-NOVEL TERPILIH HASANUDDIN MD ISA DARIPADA PERSPEKTIF AL-GHAZALI

SITI DAHLIA ABDULLAH, MAWAR SAFEI

Abstract


Konflik atau pertelingkahan sering berlaku dalam kehidupan manusia. Ia sama ada terjadi antara individu mahupun perselisihan dalam dirinya sendiri. Konflik realiti yang berlaku ini banyak disalin semula para pengarang kreatif menerusi karya yang dinukilkan. Ada dalam kalangan penulis yang memanfaatkan pendekatan Islam dalam memperagakan malah mendatangkan solusi dalam konflik yang dimajukan dalam ruang naratif mereka. Antara penulis itu ialah Hasanuddin Md Isa.  Maka penulisan ini menganalisis konflik yang dibawakan Hasanuddin Md Isa menerusi tiga novel kajian, iaitu Mereka Yang Tertewas (1991), Cebisan Mantera Terakhir (2014) dan Sarjana Bangsa (2015).  Ketiga-tiga novel ini sangat tegar suara Islami yang sekian lama menjadi idiosinkrasi pengarang. Kerangka jiwa al-Ghazali digunakan bagi menganalisis konflik diri dalam tiga novel yang difokuskan. Kerangka jiwa al-Ghazali menjurus tiga bahagian, iaitu al-qalb (hati), al-nafs (nafsu) dan al ‘aql (akal) dengan rujukan khusus kitab Ihya’Ulumiddin.  Dapatan kajian memperlihat ada kecenderungan khas yang ditumpukan pengarang terhadap konflik tertentu dalam setiap novel yang dianalisis. Novel Mereka Yang Tertewas (1991) menunjukkan sifat nafsu yang lahir daripada sikap manusia yang sering terburu-buru dalam tindak laku sehingga mencetuskan konflik. Novel Cebisan Mantera Terakhir (2014) pula menunjukkan keadaan hati yang dipengaruhi sifat dendam kesumat yang membawa kemudaratan dan kehilangan nyawa orang lain.  Sementara Sarjana Bangsa (2015) mempamerkan hakikat akal menurut al-Ghazali dalam mengungkapkan kebijaksanaan protagonisnya berdakwah kepada golongan sasaran.  Membaca gubahan Hasanuddin Md Isa melalui tiga novelnya ini memperkenalkan khalayak bukan sahaja dengan seni penukangan kreatif, tetapi pembaca dibekalkan acuan Islami tentang bagaimana sesuatu konflik itu perlu ditanggap. Dalam selang seli naratif itu turut ditemukan solusinya.   Hasanuddin Md Isa membawa solusi Islami dalam penyelesaian setiap konflik yang dimajukannya.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.