UNSUR ALAM DALAM LOAGAN BUNUT KARYA DAHIRI SAINI: SUATU KRITIKAN EKO
Abstract
Alam bukan sahaja boleh memberi kesejahteraan kepada jiwa namun boleh dimanfaatkan kepada penghasilan karya sastera. Perhubungan alam dan manusia yang erat sejak dahulu menyebabkan kebergantungan manusia terhadapnya hingga melahirkan budaya yang digalurkan bagi sesebuah kaum. Alam itu sendiri kaya dengan nilai estetikanya hingga memberi idea kepada pengarang untuk mendidik pembaca dengan menyuntik semangat cintakan alam menerusi karya sastera. Unsur alam terdiri daripada pelbagai aspek namun menerusi kajian ini akan menjurus kepada unsur alam flora, fauna, dan air (sungai). Kesemua unsur alam ini diteliti menerusi teks kajian iaitu Loagan Bunut hasil karya Dahiri Saini dengan pengaplikasian kritikan eko William Howarth (1996). Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk mengenal pasti unsur alam dalam teks kajian dan menganalisis serta mengaplikasikan kritikan eko William Howarth (1996) di dalam novel Loagan Bunut. Kajian ini akan menggunakan seluruh prinsip dalam kritikan eko William Howarth (1996) iaitu prinsip ekologi, etika, bahasa dan kritikan. Analisis kajian mendapati bahawa permasalahan alam sekitar dari sudut ekologinya terjadi kerana kealpaan manusia hingga menyebabkan sungai terjejas. Di samping itu, etika ekologi dangkal di dalam kajian ini akan dilihat dari sudut sikap manusia yang memusnahkan hutan Loagan Bunut. Manakala, etika ekologi mendalam pula memaparkan sikap pengarang yang ingin memotivasikan pembaca untuk memulihara alam sekitar. Akhir sekali, analisis kajian juga akan membincangkan pemilihan diksi burung membawa perlambangan bagi sesebuah kaum. Justeru, hal ini memperlihatkan fungsi alam itu sendiri adalah untuk memberi manfaat kepada manusia dan persekitarannya.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.