TERJEMAHAN BUDAYA BUKAN KEBENDAAN DALAM NOVEL SIRI SAGA TWILIGHT: SENJAKALA
Abstract
Kajian ini membincangkan terjemahan budaya bukan kebendaan dalam novel Siri Saga Twilight: Senjakala (2009) yang telah diterjemahkan daripada novel popular Inggeris iaitu The Twilight Saga: Twilight (2006). Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti dan menyenaraikan unsur budaya bukan kebendaan yang terdapat dalam teks novel Twilight: Senjakala serta menganalisis strategi terjemahan budaya bukan kebendaan yang digunakan oleh penterjemah bagi menterjemah unsur budaya bukan kebendaan teks novel ini. Kajian ini menggunakan kaedah analisis teks iaitu dengan menggunakan korpus yang dipilih sebagai data untuk menghurai unsur budaya bukan kebendaan barat yang terdapat dalam teks novel bahasa sumber yang diterjemah. Kajian ini menggunakan pendekatan budaya material dan non-material serta pendekatan klasifikasi budaya untuk menganalisis unsur budaya bukan kebendaan dalam teks bahasa sumber iaitu bahasa Inggeris yang telah diterjemah kepada teks bahasa terjemahan iaitu bahasa Melayu. Hasil kajian menunjukkan penterjemahan novel bahasa sumber ke bahasa sasaran memperlihatkan banyak percanggahan dari segi budaya kedua-dua masyarakat. Budaya bahasa sumber iaitu bahasa Inggeris banyak menunjukkan norma masyarakatnya yang mengamalkan budaya barat dalam kepercayaan dan kehidupan seharian. Budaya dan kepercayaan ini ternyata tidak sesuai untuk diamalkan dalam masyarakat Melayu. Kajian turut membuktikan strategi penterjemahan secara literal menjadi pilihan utama dan kerap digunakan oleh penterjemah berbanding strategi yang lain kerana kesukaran untuk mencari kesepadanan antara dua budaya iaitu antara budaya dalam teks bahasa sumber dengan budaya dalam teks bahasa sasaran. Kajian ini diharapkan dapat memberikan sumbangan dan menjadi panduan kepada kajian penterjemahan pada masa hadapan agar budaya dan bahasa Melayu akan kekal terpelihara.
Kata kunci: analisis text; budaya barat; budaya bukan kebendaan; penterjemahan literal; terjemahan novel.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.