METODE DAKWAH SYEIKH HAMZAH FANSURI DALAM MANUSKRIP SYAIR DAGANG ADANYA (MSS 3160)
Abstract
Syair Dagang merupakan salah satu syair karya Syeikh Hamzah Fansuri (S.H.F) yang bertemakan dakwah agama Islam dan merupakan syair terpanjang beliau dengan rangkaian 191 bait. Ironinya, ia kurang dikaji secara tuntas kerana melibatkan teks manuskrip Melayu lama bertulisan Jawi. Kajian ini bertujuan melanjutkan kajian terhadapnya dengan menganalisis metode dakwah di sebalik keindahan jalinan ayat dan pemilihan kata-kata dalam bait-baitnya. Kajian ini berbentuk kualitatif deskriptif dan analisis teks. Data diperoleh dari teks manuskrip Syair Dagang Adanya (MSS 3160) yang disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia. Setiap bait syair daripadanya ditransliterasi dan diinterpretasi serta dilakukan bacaan rapi ke atasnya sebelum disaring mengikut tema dakwah yang bersesuaian. Analisis kajian dilakukan dengan menerapkan Model Pembujukan Dakwah oleh Nor Raudah Siren (2015) yang merumuskan bahawa metode dakwah Islam berkisar kepada tiga kaedah utama, iaitu pertama; al-hikmah, kedua; al-mawi`izah al-hasanah dan ketiga; al-mujadalah. Hasil kajian menunjukkan antara dua bentuk al-hikmah (bijaksana), iaitu “dorongan yang lembut” atau “amaran keras” akan disesuaikan pada asasnya oleh S.H.F kepada setiap sasarannya, manakala dua bentuk al-mawi`izah al-hasanah (nasihat pengajaran), iaitu “halus” dan “terus-terang” diaplikasi kepada sasaran yang bersikap kurang agresif terhadap dakwah beliau. Sementara dua bentuk al-mujadalah (perdebatan), iaitu berhujah menggunakan fakta atau rasional hanya dipakai terhadap sasaran yang mencabar kebenaran Islam yang disampaikan. Kesemua kaedah dakwah di atas disesuaikan dengan cermat oleh S.H.F menurut situasi dan kondisi setiap sasaran beliau sebagai penerima khitab (wacana) dalam setiap bait. Di sini, kebestarian dan kebijaksanaan S.H.F terserlah dalam metode berdakwah yang diterapkannya dalam karya sastera. Akhirnya, sumbangan kajian dapat mendorong para pencinta sastera Melayu Islam untuk menghasilkan karya sastera yang sentiasa dapat menyuluh fikiran dan jiwa anak bangsa supaya beriman dan bertakwa.
Kata kunci: Syair Dagang; manuskrip; metode; Model; Pembujukan Dakwah; Sheikh Hamzah Fansuri;
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.