SAPAAN DALAM KALANGAN PELAJAR UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Abstract
ABSTRAK
Makalah ini bertujuan untuk menjelaskan bentuk sapaan yang digunakan dalam kalangan pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam situasi academia yang bersifat formal. Kata ganti nama diri dan kata panggilan terangkum sebagai sebahagian daripada sistem sapaan yang perlu mengikut syarat-syarat dan juga norma-norma yang betul berdasarkan kesuaian sosial dalam komunikasi. Kajian ini menggunakan data yang diperoleh daripada soal selidik yang dibina secara berstruktur dalam bentuk borang Google (Google Form) dan diedarkan secara dalam talian kepada responden. Seramai 168 responden telah menjawab sosl selidik yang terdiri daripada 41 orang responden mewakili mahasiswa lelaki dan 127 orang responden mewakili mahasiswa perempuan. Dalam penentuan bahasa sapaan, kajian ini menggunakan pola penggunaan kata ganti nama oleh Nik Safiah Karim (2012) sebagai panduan. Tiga pola penggunaan kata ganti nama diri tersebut ialah penggunaan BH -BH yang resiprokal, penggunaan BK-BK yang resiprokal dan penggunaan bentuk BH-BK yang tidak resiprokal. Kajian ini mendapati masih ada sebahagian pelajar yang kurang arif dan tidak memahami penggunaan bahasa sapaan yang sesuai dengan hubungan peserta dan situasi rasmi khususnya bagi bentuk kata ganti nama diri ‘awak’, ‘dia’, kata panggilan ‘kak/bang’ dan ‘mak cik/pak’. Sungguhpun, peratusan responden yang tidak mengetahui penggunaan bentuk hormat yang sesuai dalam situasi akademia adalah kecil namun, dapatan ini menunjukkan, sebahagian pelajar UKM masih ada yang belum menguasai penggunaan kata ganti nama yang betul termasuk penggunaan bentuk panggilan sebagai ganti kepada kata ganti nama yang boleh memberi implikasi kepada kesantunan berbahasa.
Kata kunci: Sapaan, kesantunan, kata ganti nama diri, kata panggilan, kesesuaian sosial
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.