PILIHAN BAHASA DALAM DOMAIN PENDIDIKAN KEAGAMAAN DI BAGAN SERAI, PERAK

MOHD KHAIDIR ABD. WAHAB, CHONG SHIN, KARIM HARUN, JAMALUDIAN ASAARI

Abstract


Bagan Serai, Perak, adalah salah satu kawasan penyebaran masyarakat Banjar diaspora di Alam Melayu. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis pola pilihan bahasa dalam domain pendidikan di madrasah yang ditubuhkan sebagai institusi agama Islam. Kajian ini memberi tumpuan kepada Madrasah Al-Akhlak Al-Islamiah, Masjid Tinggi, Bagan Serai, yang diasaskan oleh komuniti Banjar. Kerangka teori yang digunakan adalah teori Fishman mengenai pilihan bahasa, yang memberi tumpuan kepada pola pilihan bahasa dalam domain pendidikan, baik di dalam mahupun di luar bilik darjah. Menurut teori ini, pilihan bahasa mencerminkan bukan sahaja keperluan komunikasi, tetapi juga kedudukan sosial, identiti budaya, dan peranan setiap bahasa dalam struktur sosial. Penyelidikan ini melibatkan kaedah pemerhatian ikut serta, rakaman tidak sedar, dan temu bual untuk mengumpul data. Hasil kajian menunjukkan bahawa bahasa Melayu standard dan bahasa Arab menjadi bahasa utama dalam konteks formal dan keagamaan, sementara dialek Melayu Kedah, bahasa Inggeris, dan bahasa Banjar digunakan dalam aktiviti sosial dan bukan formal. Penggunaan bahasa Arab dalam doa dan pengajaran menonjolkan peranan utamanya dalam aspek keagamaan. Kajian ini juga menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Banjar dalam interaksi sosial mencerminkan ikatan budaya yang dipelihara dalam kalangan komuniti tersebut, meskipun bahasa Melayu dan bahasa Arab mendominasi dalam konteks keagamaan dan pendidikan. Kajian ini menyimpulkan bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga merupakan medium penting dalam memupuk identiti budaya serta kepelbagaian linguistik dalam kalangan komuniti madrasah.

Kata kunci: Domain pendidikan; madrasah; masyarakat Banjar diaspora; pilihan bahasa; sosiolinguistik.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.