LINGUISTIK MELAYU DAN KECERDASAN BUATAN DALAM MASYARAKAT 5.0
Abstract
Era Masyarakat 5.0 (Society 5.0), sedikit sebanyak telah mengubah lanskap dan dimensi kajian linguistik. Perkembangan zaman yang memanafaatkan teknologi dan masyarakat ini turut memperlihatkan perubahan dalam bidang kajian linguistik Melayu yang signifikan. Kajian ini meneliti permasalahan utama dalam bidang linguistik Melayu, khususnya berkaitan dengan integrasinya dalam era kecerdasan buatan (AI), termasuk cabaran dalam pemprosesan bahasa semula jadi (NLP), penterjemahan automatik, dan pembangunan korpus digital. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis kepentingan NLP dalam linguistik Melayu, mengenal pasti cabaran yang dihadapi, serta mencadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan keupayaan AI dalam memproses dan memahami bahasa Melayu. Kaedah kajian yang digunakan adalah analisis data sekunder, analisis data pustaka, dan sorotan terhadap pandangan pengkaji terdahulu. Data yang dikumpulkan merangkumi kajian-kajian lepas, artikel ilmiah, dan perkembangan terkini dalam bidang NLP dan linguistik Melayu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa walaupun terdapat kemajuan dalam teknologi AI, masih terdapat cabaran besar dalam penterjemahan automatik dan pembangunan korpus digital untuk bahasa Melayu. Implikasi kajian ini menekankan pentingnya usaha kolaboratif antara ahli linguistik, pakar komputer, dan pihak berkepentingan untuk memastikan linguistik Melayu terus relevan dan berkembang seiring dengan perubahan masa. Kajian ini mencadangkan agar penyelidikan masa depan memberi tumpuan kepada pembangunan model NLP yang lebih canggih, pengumpulan data linguistik yang lebih komprehensif, dan peningkatan kesedaran tentang kepentingan linguistik Melayu dalam membentuk Masyarakat 5.0 yang seimbang, adil, dan inklusif.
Kata kunci: Linguistik Melayu; kecerdasan buatan; Masyarakat 5.0; pemprosesan linguistik semula jadi; penterjemahan mesin.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.