PENGGUNAAN KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM PEMBELAJARAN BAHASA ERA 5.0

NURUL HANIZA SAMSUDIN, NUR AZIMAH MOHD BUKHARI, AKHMAD MANSUR

Abstract


Era 5.0 membawa cabaran dalam pembelajaran bahasa termasuklah ketidakseimbangan antara penggunaan teknologi dan interaksi manusia yang mengurangkan komunikasi dalam konteks sebenar. Selain itu, ketepatan dan kesahihan maklumat bahasa dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI) masih belum sempurna dan menyebabkan kesalahan dalam penggunaan tatabahasa dan kosa kata. Jurang digital juga menyebabkan akses kepada teknologi yang tidak seimbang dan boleh membataskan peluang pembelajaran dalam kalangan pelajar yang mempelajari bahasa Melayu. Kajian ini meneliti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing. Oleh itu, keberkesanan AI dalam meningkatkan kefahaman dan kemahiran bahasa Melayu serta cabaran yang dihadapi dalam penggunaannya perlu dibincangkan. Kajian ini adalah untuk menganalisis tahap penggunaan AI, menilai kelebihan dan cabaran, serta penambahbaikan dalam pembelajaran bahasa Melayu menggunakan AI. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif deskriptif dengan pengumpulan data melalui soal selidik dalam talian yang melibatkan 49 responden. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti responden, iaitu sebanyak 57.1% pernah menggunakan AI dalam pembelajaran bahasa Melayu dengan aplikasi seperti Duolingo, ChatGPT, dan Google Translate menjadi pilihan utama. AI terbukti berkesan dalam meningkatkan kefahaman konteks perbualan dan menghafal kosa kata, namun cabaran seperti ketepatan jawapan, kekurangan interaksi, serta isu teknikal masih menjadi halangan. Kesimpulannya, AI berpotensi menjadi alat pembelajaran yang berkesan, tetapi memerlukan penambahbaikan dalam aspek tatabahasa, latihan pertuturan, dan pengayaan kandungan bahasa Melayu. Kajian ini mencadangkan pembangunan AI yang lebih interaktif, pengukuhan sumber data, dan integrasi AI dengan kaedah pembelajaran tradisional bagi meningkatkan keberkesanannya.

Kata kunci: Kecerdasan buatan (AI); pembelajaran bahasa; pelajar asing; Era 5.0; bahasa Melayu.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.