KESANTUNAN BERBAHASA DALAM PERNIAGAAN PENSTRIMAN LANGSUNG TIKTOK DATO’ ALHA ALFA
Abstract
Kesantunan dalam berbahasa dapat dicapai dengan menggunakan ungkapan yang sopan, lembut dan halus, yang mampu mencipta hubungan harmoni antara penutur dengan pendengar dalam sesuatu situasi komunikasi. Dengan mengaplikasikan Prinsip Kesopanan Leech (1983) dan Model Kesantunan Asmah (2000), kajian ini menganalisis dan mengkategorikan kesantunan berbahasa antara penjual dengan pembeli dalam penstriman langsung di laman sosial. Instrumen kajian melibatkan laman sosial Tiktok. Kajian ini turut menggunakan kaedah kualitatif, iaitu pemerhatian dan rakaman bagi mengumpul data kajian. Reka bentuk kajian ini berbentuk kajian kes yang berfokuskan seorang peniaga yang menjalankan perniagaan penstriman langsung di Tiktok. Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan kata ganti nama diri ‘saya’, ‘cik’, dan ‘anda’ menepati maksim santun dan strategi merendah diri. Ungkapan ‘assalamualaikum’, ‘selamat sejahtera’, ‘hai’, ‘terima kasih’ dan thanks menepati strategi berhemah serta ungkapan ‘maaf’ menepati strategi maaf. Ungkapan berbentuk ayat tanya terbuka ‘Apa beza Daffodil dengan Moonflower?’ dilihat menepati strategi berikan peluang dan ayat tanya ‘Daffodil tu dia lipstick yang nombor set apa?’ menepati maksim kerendahan hati dan strategi kerendahan hati. Ayat tanya tertutup ‘boleh tak?’ menepati maksim santun dan strategi kerendahan hati dan ayat tanya ‘okay tak tu?’ menepati maksim persetujuan dan maksim kedermawanan. Dengan itu, dapat dirumuskan bahawa ungkapan- ungkapan kesantunan berbahasa dilihat boleh bertindan antara Prinsip Kesopanan Leech (1983) dengan Model Kesantunan Asmah (2000). Kajian ini memberikan implikasi yang penting dalam bidang komunikasi dan pemasaran digital, khususnya dalam penstriman langsung di media sosial. Secara tidak langsung, kajian ini diharapkan dapat menjadi pencetus idea kepada penyelidik linguistik untuk mengembangkan kajian berkaitan kesantunan dalam komunikasi digital yang semakin pesat membangun.
Kata kunci: Kesantunan berbahasa; komunikasi digital; Liddicoat; Model Kesantunan Asmah; Prinsip kesopanan Leech.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.