MINAT DAN CABARAN PELAJAR SEKOLAH SWASTA DALAM PEMBELAJARAN KOMSAS

YANG LITING

Abstract


Kajian ini bertujuan meneroka tahap minat dan cabaran yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran Komponen Sastera (KOMSAS) dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 hingga 5 di Sri Bestari Private School Kuala Lumpur. Permasalahan kajian ini berpunca daripada pemerhatian bahawa pelajar kurang berminat terhadap KOMSAS kerana kandungan teks yang sukar difahami serta pendekatan pengajaran yang tidak interaktif. Tujuan utama kajian ini ialah untuk mengenal pasti tahap minat pelajar, mengenal pasti cabaran utama yang dihadapi dalam pembelajaran KOMSAS, serta menilai pengaruh faktor persekitaran dan latar belakang ibu bapa terhadap minat pelajar. Skop kajian ini tertumpu kepada pelajar sekolah menengah swasta yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai subjek wajib. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui kaedah soal selidik yang diedarkan secara dalam talian kepada 59 orang pelajar. Instrumen kajian dibina berdasarkan konstruk minat, cabaran pembelajaran, persekitaran pembelajaran dan latar belakang sosioekonomi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa minat pelajar terhadap KOMSAS berada pada tahap sederhana. Antara cabaran utama yang dikenalpasti termasuk kebimbangan terhadap keputusan peperiksaan, kesukaran memahami teks sastera, serta kurangnya rangsangan daripada guru. Namun, persekitaran pembelajaran yang interaktif serta penggunaan alat bantu digital dilihat dapat meningkatkan penglibatan pelajar. Selain itu, pekerjaan ibu pelajar didapati mempunyai hubungan negatif yang signifikan dengan minat pelajar terhadap KOMSAS. Implikasi kajian ini mencadangkan bahawa pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar serta kandungan KOMSAS yang lebih relevan dengan kehidupan pelajar perlu diperkenalkan bagi meningkatkan minat dan penglibatan mereka dalam pembelajaran sastera.

Kata kunci: KOMSAS; Minat Pelajar; Pembelajaran Sastera; Pendekatan Pengajara; Sekolah Swasta.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.