PENDIDIKAN SEBAGAI WAHANA PENENTANGAN: ANALISIS FEMINIS PASCAKOLONIAL DALAM THE STILLBORN DAN MENCARI AZIZAH

NAGESVARI PARAMASIVAN

Abstract


Dunia kontemporari yang sedang bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0, dengan kemunculan teknologi automasi dan inovasi digital, terus merancakkan perkembangan pendidikan moden. Perubahan ini turut membuka peluang pendidikan yang lebih seimbang antara lelaki dan wanita tanpa bias gender. Kajian ini meneliti peranan pendidikan sebagai wahana feminisme pascakolonial dalam memperkasakan wanita dan membentuk identiti mereka ketika berhadapan dengan struktur patriarki. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis tema dan analisis kandungan terhadap dua teks terpilih iaitu The Stillborn karya Zaynab Alkali dan Mencari Azizah karya Khadijah Hashim. Kerangka teori feminisme pascakolonial Chandra Talpade Mohanty diaplikasikan, khususnya konsep “Wanita sebagai Kategori Analisis,” untuk meneliti bagaimana pendidikan berfungsi sebagai alat mendapatkan hak, autonomi, dan kebebasan wanita dalam konteks budaya setempat. Dapatan menunjukkan bahawa pendidikan bukan sahaja bertindak sebagai pemangkin pemerkasaan intelektual dan ekonomi, tetapi juga menjadi strategi signifikan dalam menentang penindasan fizikal, psikologi dan emosi yang terikat dengan sistem kekeluargaan tradisional serta hierarki sosial patriarkal. Watak Li dan Azizah digambarkan sebagai wanita yang mencabar batasan gender melalui proses pendidikan yang memulihkan martabat dan identiti mereka. Kajian ini menyumbang kepada wacana feminisme pascakolonial dengan membentangkan karya kreatif wanita berasaskan nilai setempat yang menolak paradigma feminisme Barat yang bersifat universal. Pendidikan menjadi wahana pembebasan wanita yang berpaksikan nilai budaya dan realiti masyarakat setempat, seterusnya memperkaya perspektif global mengenai kebebasan bertindak dan autonomi wanita.

Kata kunci: pendidikan; pemerkasaan; feminisme; gender; identiti; pascakolonial

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.