INTERAKSI KERAJAAN JOHOR-RIAU-LINGGA-PAHANG DENGAN KUASA EROPAH DALAM TEKS TUHFAT AL-NAFIS

STEVEN ALEZENDER, SALMAH JAN NOOR MUHAMMAD, RAHIMAH HAMDAN

Abstract


Kemunculan sesebuah kerajaan dalam usaha menjadi sebuah pusat kekuasaan di Alam Melayu dipengaruhi oleh pelbagai faktor penting yang saling berkait antara satu sama lain. Di samping faktor kemakmuran, kebijaksanaan pemerintah, pertahanan dan kedudukan strategik yang digabung jalin untuk menumbuhkan sebuah kerajaan yang kuat, faktor interaksi baik dalam konteks setempat mahupun sejagat dilihat tidak kalah pentingnya juga dalam membina citra sebuah kerajaan yang kuat. Mustahaknya proses interaksi dalam membangunkan citra kerajaan tersebut menyaksikan waris langsung Kesultanan Melayu Melaka iaitu Kesultanan Johor-Riau Lingga-Pahang memberikan perhatian yang khusus mengenainya. Di samping berinteraksi dengan kerajaan lain yang mengitarinya, penelitian awal terhadap teks Tuhfat al-Nafis yang merepresentasikan Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang merekodkan wujudnya interaksi kesultanaan berkenaan dengan kuasa Eropah. Bertolak daripada itu, maka kajian ini ingin meneliti interaksi yang terjalin antara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang dengan kuasa Eropah. Kajian berbentuk kualitatif dengan mensentesiskan dua kaedah kajian iaitu kaedah kepustakaan dan analisis kandungan ini akan memanfaatkan teks Tuhfat al-Nafis sebagai data kajian. Dapatan kajian dengan menggunakan Teori Bentuk dan Lingkungan Sosial Interaksi Antara Tamadun oleh Kuzyk & Yakovets (2006) mengesahkan wujudnya interaksi Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang dengan kuasa Eropah dalam bentuk kerjasama ekonomi dan politik, perkongsian sosiobudaya, Konfrontasi politik dan konflik ketenteraan.

Kata Kunci: Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang; empayar; interaksi; Tuhfat al-Nafis; Alam Melayu

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.