Ke Arah Penerimaan Culpa in Contrahendo di Bawah Undang-undang Kontrak Malaysia
Abstract
Undang-undang kontrak perlu berkembang selari dengan kemajuan tamadun agar kekal relevan dan sesuai diguna pakai bagi menghadapi isu-isu baru berkaitan kontrak. Sebaliknya, Akta Kontrak 1950 (Akta 136) yang mengawal hubungan kontraktual di Malaysia masih kekal sama tanpa sebarang perubahan ketara sejak ia mula digubal pada tahun 1899. Kengganan untuk berubah ini berpunca daripada keterikatan terhadap tradisi common law Inggeris dan ideologi liberalisme yang mendasari Akta tersebut. Kesannya, prinsip common law diterima sebagai jalan pintas bagi menangani sela dalam undang-undang manakala prinsip yang bertentangan ditolak sama sekali. Satu daripada doktrin yang enggan diiktiraf di bawah undang-undang kontrak ialah culpa in contrahendo. Doktrin penting ini mengiktiraf kewajipan pra-kontrak dan dikuatkuasakan agar pihak-pihak yang masih berada dalam proses rundingan tidak mengambil sebarang tindakan yang merugikan sebelum suatu kontrak dimeterai. Kewajian pra-kontrak tidak mendapat pengiktirafan di bawah common law kerana ketidakpastian yang wujud semasa proses rundingan. Ideologi liberalisme klasikal yang menekankan kebebasan prinsip kebebasan berkontrak menambahkan lagi kekangan terhadap pengiktirafan liabiliti pra-kontrak di Malaysia. Kajian ini berpendapat tiada asas undang-undang yang kukuh untuk menolak culpa in contrahendo. Lantaran itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti kebolehterimaan doktrin tersebut dalam undang-undang kontrak Malaysia. Bagi tujuan tersebut, kajian doktrinal ini menerapkan pendekatan sejarah, jurispruden, perbandingan dan analitis dan kritis serta menggunakan kajian perpustakaan sebagai teknik utama dalam pengumpulan data. Kajian ini dimulakan dengan melihat kedudukan liabiliti pra-kontrak di Malaysia dan diikuti dengan analisa ke atas faktor-faktor yang menghalang pengiktirafan liabiliti tersebut di bawah undang-undang kontrak Malaysia. Perbandingan kedudukan liabiliti pra-kontrak di beberapa negara terpilih seperti England, Singapura dan Australia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Kontrak Jualan Barangan Antarabangsa (CISG) dan Prinsip Kontrak Perdagangan Antarabangsa UNIDROIT turut dibincangkan. Kajian ini pada akhirnya mencadangkan kaedah yang harmoni dan tidak menyekat penerimaan doktrin culpa in contrahendo ke dalam undang-undang kontrak Malaysia.
Keywords
Akta Kontrak 1950; culpa in contrahendo; common law; liabiliti pra-kontrak; liberalisme
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.