Liabiliti Prakontrak: Pendekatan Undang-undang Kontrak Jerman Sebagai Rujukan

Mohd Azizie Abdul Aziz, Sakina Shaik Ahmad Yusoff

Abstract


Liabiliti prakontrak timbul apabila salah satu pihak melanggar kewajipan semasa rundingan. Namun undang-undang kontrak Malaysia tidak mengandungi kewajipan prakontrak dan kegagalan memuktamadkan kontrak tambahan menyukarkan lagi keadaan. Pemakaian prinsip common law dan ekuiti bagi mengisi lakuna dalam perundangan turut gagal memberikan penyelesaian yang efektif terhadap isu ini. Sehubungan itu, dalam mencari jawapan kepada permasalahan ini, kajian ini menganalisis pendekatan undang-undang kontrak Jerman sebagai rujukan. Hal ini disebabkan, undang-undang kontrak Jerman lebih terkehadapan dan mempunyai pengalaman lebih awal dalam perkembangan liabiliti prakontrak. Bagi memenuhi objektif tersebut, kajian berbentuk doktrinal ini mengguna pakai metode analisis kandungan dengan pengumpulan data melalui teknik kajian kepustakaan. Selain itu, kajian ini menggunakan pendekatan analisis kritis bagi mencari aspek positif daripada undang-undang kontrak Jerman yang boleh dijadikan sebagai rujukan penambahbaikan undang-undang kontrak sedia ada. Kajian ini mendapati mahkamah di Jerman menggunakan doktrin culpa in contrahendo sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian prakontrak. Doktrin tersebut telah dikodifikasikan ke dalam Kod Sivil Jerman (Bürgerliches Gesetzbuch ‘BGB’) dan pemakaiannya telah meluas di negara-negara yang mengamalkan perundangan sivil. Kajian ini pada akhirnya mencadangkan pindaan kepada Akta Kontrak 1950 bagi membolehkan doktrin culpa in contrahendo diterima dalam undang-undang kontrak Malaysia. Hasil kajian ini membantu mengembangkan pengetahuan dan mengisi jurang penyelidikan berkaitan liabiliti prakontrak di Malaysia dan seterusnya menyumbang kepada kekayaan korpus ilmu pengetahuan dalam masyarakat.

Keywords


Culpa in contrahendo; liabiliti prakontrak; Akta Kontrak 1950; kontrak; rundingan

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.