PEMAHAMAN PEMOHON ANAK JAGAAN TERHADAP KONSEP JAGAAN PELIHARA (FOSTER CARE) DI MALAYSIA

Chan Cheong Chong, Raja Norul Fazzilla Raja Halim

Abstract


Selaras dengan gerakan deinstitusionalisasi (deinstitutionalisation), pindaan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 pada tahun 2016 menekankan penjagaan yang berlandaskan sistem kekeluargaan untuk kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga kandung. Ini menunjukkan jagaan pelihara (Foster Care) semakin mendapat perhatian di Malaysia dalam usaha memberi perlindungan dan penjagaan yang berteraskan kepentingan terbaik kanak-kanak. Namun, tidak banyak yang boleh diketahui mengenai kesedaran dan pemahaman masyarakat umum tentang konsep jagaan pelihara. Tahap pemahaman mereka secara langsung memberi kesan kepada usaha penempatan kanak-kanak dalam jagaan pelihara kerana mereka adalah sumber utama datangnya ibu bapa pelihara. Oleh itu, artikel ini bertujuan meninjau pemahaman pemohon anak jagaan terhadap konsep jagaan pelihara di Malaysia. Kaedah persampelan bertujuan telah digunakan untuk mendapatkan 23 peserta kajian yang telah berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dalam usaha mendapatkan anak jagaan. Mereka telah menyertai sesi temubual separa-struktur dan berkongsikan pemahaman mereka tentang konsep jagaan pelihara. Secara umumnya, kebanyakan peserta kajian mempunyai pemahaman yang agak rendah tentang konsep jagaan pelihara. Konsep jagaan pelihara seringkali disalahertikan dengan konsep pengangkatan. Melalui analisis tema, pemahaman mereka dapat dihuraikan secara mendalam menerusi tiga tema yang saling berkaitan iaitu (i) tiada kewujudan istilah perkataan anak pelihara, (ii) niat asal untuk mohon anak angkat, dan (iii) berasa tertipu setelah mendapat tawaran anak pelihara. Manakala, tahap pemahaman peserta kajian boleh dikategorikan kepada tiga tahap iaitu (i) pemahaman agak jelas, (ii) tidak pasti dan (iii) tiada pemahaman. Berdasarkan tiga tema dan tiga kategori pemahaman yang dikenalpasti, satu kerangka awalan pemahaman mengenai konsep jagaan pelihara telah dibina untuk konteks Malaysia. Ini disusuli dengan perbincangan dan cadangan mengenai intervensi dan sokongan perkhidmatan yang bersesuaian. Secara kesimpulannya, konsep jagaan pelihara perlulah dipromosikan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat dan usaha ini amat penting agar kepentingan terbaik kanak-kanak yang memerlukan jagaan dan perlindungan dapat dipertahankan.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.