KEADILAN TERAS KEPIMPINAN RAJA-RAJA MELAYU: DARI ERA TRADISI KE KONTEMPORARI
Abstract
ABSTRAK
Kajian ini membincangkan mengenai konsep keadilan dalam kepimpinan raja-raja Melayu yang menjadi fokus pembicaraan karya-karya ketatanegaraan Melayu tradisional. Hal ini menjadikan karya-karya ketatanegaraan Melayu tradisional amat penting sebagai wadah pembentukan peradaban manusia bagi melahirkan pemimpin yang adil dalam memenuhi tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah dan sekali gus hamba-Nya di muka bumi. Bagi menganalisis konsep keadilan raja-raja Melayu semasa era tradisi, data kajian melibatkan karya-karya ketatanegaraan Melayu tradisional yang dihasilkan atau disalin dari abad ke-15 hingga ke-19. Antara lain karyakarya tersebut meliputi Taj al-Salatin, Bustan al-Salatin, Kitab Nasihat Raja-Raja, dan Thamarat al-Muhimmah. Analisis konsep keadilan raja-raja Melayu dalam era kontemporari pula bersumberkan Perlembagaan Malaysia. Kajian ini mengaplikasikan pendekatan adab berasaskan model kerangka pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2001). Hasil kajian membuktikan bahawa karya-karya ketatanegaraan Melayu tradisional berperanan sebagai penanam adab bagi melahirkan pemimpin yang adil, yang seimbang dari segi rohani dan jasmani serta ukhrawi dan duniawi. Karya-karya ketatanegaraan Melayu tradisional menjadi panduan kepada khalayak menjalin hubungan dengan Tuhan selaku Pencipta (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas) di samping menjelaskan status peranan bagi setiap manusia di dunia - sebagai khalifah Allah dan pada masa yang sama selaku hamba-Nya. Prinsip keadilan ini diteruskan oleh raja-raja Melayu dalam era kontemporari.
Kata kunci: keadilan; ketatanegaraan; pemimpin; tradisi, kontemporari
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.