KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI DALAM KALANGAN PENUTUR DEWASA MELAYU DENGAN AFASIA
Abstract
Kajian ini meneliti kebolehan penghasilan kata kerja dan kata nama yang wujud dalam pertuturan pesakit afasia dengan menggunakan Malay Verb and dan Noun Test (MVAN). Prestasi dua kumpulan peserta: subjek kawalan dan afasia dinilai melalui tugasan penamaan gambar. Seramai 14 orang dewasa yang berbahasa Melayu dengan afasia, berumur 28-64 tahun (min = 50.70) dan 20 orang dewasa normal penutur asli bahasa Melayu yang dipadankan dari segi umur, jantina dan pendidikan, berusia 28-71 tahun (min = 52.29) telah dipilih. 52 kata nama dan 32 kata kerja yang dikawal mengikut kepanjangan suku kata, kebolehgambaran dan keterbiasaan disenaraikan dan ditukarkan kepada kad bergambar hitam dan putih. Subjek diminta untuk menamakan objek dalam kad tersebut. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kumpulan subjek kawalan dapat menghasilkan kata nama lebih baik daripada kata kerja berbanding kumpulan subjek dengan afasia. Kumpulan subjek dengan afasia fasih menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam kedua-dua penghasilan kata nama dan kata kerja daripada kumpulan subjek afasia tidak fasih. Secara keseluruhan, pola kesalahan yang ditunjukkan oleh semua subjek adalah kesalahan semantik dan kesilapan yang tidak berkaitan. Keputusan juga menunjukkan bahawa apabila pengaruh faktor-faktor pembauran dimasukkan seperti kebolehgambaran dan keterbiasaan, tidak ada bukti menunjukkan kewujudan defisit tertentu kelas perkataan dalam kalangan subjek dengan afasia. Dapatan kajian juga mengukuhkan kepentingan penggunaan gambar dalam menilai masalah pencarian semula perkataan dan telah menyediakan beberapa data berguna dalam penghasilan kata nama dan kata kerja dalam kalangan orang dewasa Melayu dengan afasia.
Kata kunci: afasia; bahasa Melayu; kata kerja; kata nama; penamaan gambar
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.