TAHAP KEPERCAYAAN ETNIK MELAYU TERHADAP ETNIK LAIN DAN PENGARUHNYA KEPADA INTERAKSI SOSIAL PENGHUNI RUMAH JENIS PANGSAPURI

MARZUDI MD YUNUS, ZAMREE ABU HASSAN, MOHAMMAD NAZZRI AHMAD

Abstract


ABSTRAK

Di Malaysia, interaksi sosial merupakan satu cabaran dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan membentuk perpaduan yang erat berdasarkan prinsip negara bangsa, iaitu bangsa Malaysia. Tahap kepercayaan dan interaksi sosial antara etnik merupakan satu daripada indikator untuk mengenal pasti tahap kesepaduan sosial antara etnik. Kajian ini dilakukan untuk menganalisis tahap kepercayaan dan korelasinya dengan interaksi sosial yang berlaku dalam komuniti. Interaksi sosial yang mempunyai pengaruh sikap prejudis, fahaman stereotaip dan tindakan berbentuk diskriminasi menghasilkan bentuk-bentuk interaksi atau hubungan yang bersifat negatif dalam masyarakat. Fenomena interaksi sosial dalam masyarakat memperlihatkan keadaan sosial masyarakat itu sama ada mempunyai kesepaduan sosial ataupun sebaliknya. Hubungan antara etnik di Malaysia ada ketika berada dalam keadaan baik dan ada ketikanya boleh bertukar menjadi negatif sekiranya terdapat isu-isu yang melibatkan sensitiviti etnik. Tahap perpaduan sosial antara etnik pada peringkat mikro boleh diukur melalui perhubungan dan ikatan kejiranan. Semangat kejiranan yang merujuk kepada kemesraan antara jiran tetangga dan keaktifan penghuni dalam organisasi sosial pada peringkat lokal. Kajian ini bertujuan mengenal pasti interaksi sosial masyarakat yang mendiami rumah jenis pangsapuri dan perkaitannya dengan sikap saling mempercayai antara mereka. Kajian ini turut melihat dan mentafsir tahap kepercayaan dalam kalangan masyarakat, iaitu antara etnik Melayu dengan etnik Cina dan India yang tinggal dalam satu penempatan. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif bagi mendapatkan data dan menyelesaikan permasalahan kajian. Hasil kajian mendapati tahap kepercayaan antara etnik yang berlainan adalah rendah. Majoriti responden bersikap saling curiga terhadap etnik lain. Tahap kepercayaan terhadap etnik yang berbeza ini telah mempengaruhi tahap interaksi sosial antara etnik dalam komuniti yang dikaji. Tahap kepercayaan yang rendah antara etnik akan menjejaskan hubungan dan jarak sosial dalam sesebuah komuniti. Kajian ini menjelaskan bahawa perpaduan antara etnik adalah penting dan perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak berwajib, apatah lagi dalam pengisian Malaysia baharu kini.

 Kata kunci : interaksi; sosial; komuniti; etnik, perpaduan


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.