ADAT TURUN TANAH DI PASIR MAS KELANTAN

AZLINA MUSA, YUSMILAYATI YUNOS, MUHAMAD NAZRI AHMAD

Abstract


ABSTRAK

Adat turun tanah dikenali juga adat mencecah tanah atau memijak tanah atau jejak tanah. Adat ini merupakan satu bentuk ritual yang telah pun diamalkan semenjak zaman nenek moyang dahulu dan masih lagi dipratikkan oleh orang kampung khususnya di beberapa daerah terpencil pedalaman Pasir Mas Kelantan. Adat turun tanah merupakan satu bentuk upacara yang diadakan untuk meraikan kanak-kanak yang berusia empat puluh hari atau empat puluh empat hari untuk buat pertama kalinya mencecah kaki ke tanah. Pada masa sekarang adat ini jarang diamalkan kerana kurangnya pengamal yang berilmu untuk melakukan upacara ini. Namun begitu, di sesetengah tempat, amalan ini masih dijalankan dan sambutannya agak meriah. Mengapakah hal sedemikan berlaku dan bagaimana upacara adat turun tanah dilakukan? Tujuan penulisan ini untuk menjelaskan adat turun tanah dan proses upacara turun tanah. Penulisan ini menggunakan kaedah kerja lapangan yang melibatkan proses temu bual dan kajian perpustakaan bagi melengkapkan data. Dapatan penulisan ini menunjukkan kanak-kanak yang terlibat dalam upacara mencecah tanah terdiri daripada dua kategori. Kategori pertama ialah kanak-kanak berusia empat puluh hari atau empat puluh empat hari. Kanak-kanak ini akan melalui upacara bercukur secara serentak dengan upacara mencecah tanah. Kategori kedua ialah kanak-kanak yang melebihi tempoh lepas hari (44 hari) tetapi masih tidak pandai berjalan. Kanak-kanak sedemikian dikatakan akan menjalani upacara turun tanah dengan bantuan bomoh atau bidan kampung dengan bacaan doa dalam upacara turun tanah. Adat ini merupakan simbolik daripada alam bayi kepada alam kanak-kanak agar cepat berjalan dan mengenali alam. Adat sedemikian jarang dilakukan namun masih terdapat beberapa kawasan di daerah Pasir Mas masih menjadikannya sebagai amalan.

Kata kunci: Adat; amalan; bacaan doa; bercukur; upacara


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.