ELEMEN REALISME MAGIS DALAM NOVEL 9 NYAWA KARYA RAMLEE AWANG MURSHID
Abstract
Realisme magis bukanlah kajian yang baharu dalam dunia kesusasteraan. Perkembangannya bermula pada tahun 1949 melalui karya Amerika-Latin, kemudian disusuli beberapa proses adaptasi oleh penulis negara lain agar penulisan mereka sesuai dengan gaya hidup masyarakat +tempatan. Begitu juga dengan Ramlee Awang Murshid, seorang novelis Malaysia yang terkenal dengan kecenderungannya dalam mengaplikasikan unsur realisme magis dalam karya beliau. Namun begitu, timbul persoalan tentang perincian dan tahap penggunaan unsur tersebut di dalam penulisannya. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis kewujudan elemen realisme magis dalam novel 9 Nyawa karya Ramlee Awang Murshid berdasarkan elemen-elemen yang diusulkan oleh Wendy B. Faris dalam Teori Realisme Magis. Sejajar dengan itu, kajian ini turut melihat kesesuaian gandingan realisme dan magis dalam karya penulis tempatan dan keseiringannya dengan gaya hidup masyarakat. Kajian ini menerapkan pendekatan kualitatif dengan penggunaan kaedah kepustakaan dan analisis teks. Teori yang menjadi asas penganalisisan data ialah Teori Realisme Magis oleh Wendy B. Faris (2004) berdasarkan bukunya Ordinary Enchantments: Magical Realism and the Remystification of Narrative. Makalah ini dapat menyimpulkan bahawa novel 9 Nyawa berjaya membuktikan keseiringan antara unsur realisme dan magis serta memenuhi kelima-lima elemen realisme magis Wendy B. Faris. Namun terdapat tiga elemen yang mendominasi plot penceritaan iaitu, “elemen yang tidak boleh dijelaskan”, “elemen dunia fenomena” dan “elemen alam yang bergabung”. Hasil analisis juga membuktikan bahawa berlaku keseiringan antara unsur realisme dan magis dalam karya beliau serta setiap isu yang diketengahkan sememangnya mewakili gaya hidup masyarakat Melayu.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.