IMBUHAN AKHIRAN BAHASA BAJAU KOTA BELUD, SABAH

SAIDATUL NORNIS HJ. MAHALI

Abstract


Proses pembentukan kata merupakan salah satu aspek pengkajian morfologi. Pembentukan kata dalam mana-mana bahasa pasti mempunyai aturan yang bersesuaian dengan ujaran penuturnya. Makalah ini memeri pembentukan kata menerusi imbuhan akhiran bahasa Bajau di daerah Kota Belud. Data untuk tulisan ini dikutip dari kampung Timbang Dayang, Kota Belud. Semua proses temu bual dan rakaman data dikutip selama tiga hari dengan empat orang informan yang tidak pernah mendapat sebarang pendidikan kecuali seorang sehingga darjah 5 sahaja. Informan dipilih dalam konteks demikian untuk mengelak data berbaur dengan kata pinjaman. Temu bual dibuat secara santai dan tidak berstruktur dengan soalan-soalan yang bertumpu kepada aktiviti harian mereka. Data kemudiannya ditranskripsi dan dianalisis untuk mengesan akhiran yang terkandung dalam bahasa ini. Hasil analisis menemui tiga bentuk imbuhan akhiran, yakni -an, -in, -on dengan alomorf -un. Imbuhan akhiran /-an/ hadir pada fonem konsonan /p,b,t,d,k,g,l,j,r,s/ dan fonem vokal /a,i,u/. Akhiran /-in/ pula hadir pada fonem konsonan /p,b,t,d,j,k,l,r,s/ dan hanya pada fonem vokal /a/, manakala akhiran /-on/ diimbuh dengan fonem konsonan /p,b,t,d,j,k,g,l,r,s/ dan pada fonem vokal /i,o/. Terdapat tiga perkara inti yang dicungkil keluar daripada akhiran bahasa Bajau Kota Belud, iaitu (i) kata yang mengalami proses imbuhan akhiran akan sama ada berubah atau mengekalkan makna; (ii) tersirat tiga maksud yang dijelaskan dalam kesemua imbuhan akhiran, yakni (a) untuk menerangkan sesuatu perkara, (b) untuk melakukan sesuatu perkara, dan (c) untuk mendapatkan kepastian mengenai sesuatu; serta (iii) proses peleburan fonem glotal dan asimilasi vokal /e/ sebelum menerima imbuhan.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.