PENGARUH DIALEK DALAM PEMEROLEHAN BAHASA MELAYU BAKU REMAJA BERKEPERLUAN KHAS

SITI NORIDAYU ABD. NASIR, HAZLINA ABDUL HALIM

Abstract


Penggunaan dialek merupakan salah satu alat komunikasi yang digunakan secara tidak formal dalam menyampaikan maklumat. Lazimnya, dialek sesuatu kawasan digunakan secara meluas oleh ahli keluarga dan orang terdekat. Namun begitu, penggunaan dialek tidak terbatas hingga ke alam persekolahan apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan sekelas. Sedangkan, penggunaan bahasa Melayu baku begitu penting bagi meningkatkan pemerolehan bahasa Melayu dalam proses pembelajaran. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan bertujuan mengenal pasti pengaruh dialek dalam proses pembelajaran bahasa Melayu baku. Kemudian, melihat faktor pengaruh dialek dalam pembelajaran bahasa Melayu baku. Kajian ini juga mengaplikasikan Teori Mentalis Noam Chomsky bagi analisis data pemerolehan bahasa pertama responden kajian. Data diperoleh melalui item kajian berbentuk visual dan ujaran yang diungkapkan oleh responden. Hasil ujaran daripada responden dijadikan data kajian untuk dianalisis. Selain itu, borang soal selidik diberikan kepada waris dan responden bagi melihat bahasa yang digunakan dalam persekitaran responden. Hasil dapatan menunjukkan bahawa pengaruh dialek menjadi dasar bagi pembelajaran bahasa Melayu baku. Namun begitu, pengulangan ujaran yang didengari oleh responden telah menjadi kefahaman yang berbeza dan tidak menepati makna dalam bahasa Melayu baku. Faktor persekitaran yang menggunakan dialek sepenuhnya menjadi alat komunikasi yang menjadi keutamaan responden. Oleh itu, kajian ini diharapkan dapat memberikan impak kepada persekitaran remaja berkeperluan khas yang masih bersekolah untuk mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu baku bersama keluarga dalam proses meningkatkan pemerolehan bahasa Melayu baku dengan lebih baik.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.