PEMINJAMAN PERKATAAN THAI DALAM BAHASA MELAYU: PENELITIAN DARI SUDUT SEMANTIK

ROHANI POOTEH, KARIM HARUN, MASLIDA YUSOF

Abstract


Peminjaman bahasa merupakan fenomena biasa untuk memperkayakan perbendaharaan dalam sesuatu bahasa. Peminjaman bahasa berlaku apabila berlakunya pertembungan antara dua bahasa. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang telah meminjam kosa kata bahasa asing demi memenuhi keperluan untuk menjelaskan konsep-konsep baharu yang tiada dalam masyarakat penutur bahasa Melayu. Terdapat banyak kajian yang mengkaji berkaitan kata pinjaman katadalam bahasa Melayu, namun kebanyakan menumpu kepada dialek Melayu Patani dan terhad kepada penyenaraian kosa kata. Oleh itu, kajian ini bertujuan menganalisis makna kata pinjaman Thai dalam bahasa Melayu berdasarkan perbandingan makna kedua-dua bahasa daripada aspek perubahan makna. Data kata pinjaman Thai diperoleh daripada Kamus Dewan Perdana (2020) khususnya dalam bidang pertanian. Manakala, data bahasa Thai yang dijadikan rujukan perbandingan makna diperoleh daripada Kamus Institut Pendeta diraja Thai 2011 (2013). Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang terdiri daripada kaedah kepustakaan serta kaedah lapangan dan menerapkan teori perubahan makna (semantic change) yang digagaskan oleh Bloomfield (1984). Kaedah kepustakaan digunakan untuk menyemak latar belakang sejarah dan makna-makna kata, manakala melalui kaedah lapangan, pengkaji menggunakan teknik temu bual semi berstruktur. Seramai tiga orang informan yang terlibat dalam kajian ini demi mengesahkan makna dan penggunaan perkataan pinjaman dalam kajian. Dapatan kajian mendapati lapan kata pinjaman bahasa Thai dalam bidang pertanian. Terdapat dua perkataan yang mengalami penyempitan makna dan enam perkataan yang mengalami peluasan makna. Perubahan makna yang berlaku bukan hanya untuk dapat menampung keperluan penggunaan bahasa, malah dapat memperkayakan lagi korpus dan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Selain itu, kajian seperti ini penting bagi memperkemaskan lagi bidang semantik dan perkamusan khususnya kamus bahasa Melayu.

Kata Kunci: Bahasa Melayu; bahasa Thai; kata pinjaman; peluasan makna; penyempitan makna


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.