KATA GANTI NAMA DIRI BAHASA SUNGAI LABUK-SUGUT: TINJAUAN BENTUK DAN FUNGSI SINTAKSIS

KARTINI ABD WAHAB, MASLIDA YUSOF

Abstract


Setiap bahasa mempunyai sistem untuk merujuk pihak yang terlibat dalam perbualan, sama ada penutur, pendengar, atau pihak ketiga. Sistem ini dikenali sebagai kata ganti nama diri (KGND), yang berperanan penting dalam menyampaikan makna rujukan, hubungan sosial, serta struktur sintaksis sesebuah bahasa. Bahasa Sungai sebagai bahasa peribumi yang dituturkan oleh etnik Sungai di Sabah, juga mempunyai sistem KGND yang tersendiri. Walau bagaimanapun, kajian terhadap aspek KGND bahasa ini masih kurang dijalankan secara khusus, memandangkan penelitian terdahulu lebih berfokuskan dokumentasi leksikal, cerita rakyat, pembelajaran bahasa, sosiolinguistik dan aspek fonologi bahasa Sungai. KGND wajar diteliti kerana ia bukan sahaja berperanan dalam struktur sintaksis, tetapi juga menzahirkan hubungan sosial, maksud kepunyaan, dan keterlibatan penutur dalam komunikasi harian. Sehubungan itu, makalah ini bertujuan untuk membincangkan bentuk dan fungsi sintaksis KGND dalam bahasa Sungai Labuk-Sugut. Data bahasa Sungai Labuk-Sugut diperoleh daripada sumber dokumentasi awal oleh King dan King dan dianalisis menggunakan pendekatan deskriptif. Hasil analisis mendapati bahawa bahasa Sungai Labuk-Sugut mempunyai 16 bentuk KGND iaitu aku, ku, kito, mai, kai, toko, ko, kou, ikau, dikau, mu, muyu, nio, io, siro, dan nosiro. KGND dalam ayat bahasa Sungai Labuk-Sugut, berfungsi sebagai subjek, objek, pemilikan, klitik pada kata nama, mewakili bentuk tunggal mahupun jamak, termasuklah menunjukkan perbezaan antara bentuk inklusif dan eksklusif. Penggunaan KGND dalam bahasa Sungai Labuk-Sugut memperlihatkan keupayaan sistem rujukan bahasa ini dalam menyampaikan makna secara kontekstual. Kajian ini memberikan sumbangan kepada pemahaman awal mengenai fungsi KGND dalam struktur sintaksis bahasa Sungai Labuk-Sugut. Selain itu, kajian ini juga menyediakan ruang penyelidikan lanjutan mengenai perkembangan bentuk KGND, khususnya dalam konteks penggunaan bahasa peribumi secara kontemporari.

Kata kunci: bahasa Sungai Labuk-Sugut; bahasa peribumi; fungsi sintaksis; kata ganti nama diri; etnik Sungai

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.