Integrasi Boneka Tangan (Hand-Puppet) dalam Meningkatkan Kemahiran Pendidikan Muzik Murid Autisme (Integration of Hand Puppets in Enhancing Music Education Skills for Autistic Students)
Abstract
Pendidikan muzik memainkan peranan penting dalam pembangunan holistik murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), termasuk murid autisme. Kelas muzik bukan sahaja mengajar kemahiran muzikal tetapi juga menjadi platform bagi ekspresi kreatif, pembangunan emosi, dan interaksi sosial yang positif dalam kalangan murid autisme. Walaupun pendidikan muzik merupakan mata pelajaran wajib di peringkat sekolah rendah, kaedah pengajaran tradisional tidak sesuai untuk murid autisme kerana gaya pembelajaran setiap individu autisme adalah unik. Oleh itu, pendekatan yang lebih inklusif dan kreatif diperlukan untuk memenuhi keperluan mereka. Penggunaan boneka tangan merupakan satu kaedah pengajaran yang efektif dan inklusif. Kajian ini melibatkan dua belas responden, terdiri daripada enam guru pendidikan khas yang mengajar pendidikan muzik dan enam murid autisme di enam buah sekolah di daerah Penampang, Sabah. Kajian ini bertujuan meneroka cara guru mengintegrasikan penggunaan boneka tangan untuk meningkatkan kemahiran pendidikan muzik dalam kalangan murid autisme, meneroka pengalaman guru sepanjang tempoh empat minggu pengintegrasian boneka tangan dalam pengajaran pendidikan muzik, dan mengenal pasti sebarang peningkatan kemahiran muzikal dalam kalangan murid autisme selepas pengintegrasian boneka tangan dalam kelas pendidikan muzik. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengintegrasian boneka tangan dapat meningkatkan kemahiran muzikal murid autisme dan menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam proses pembelajaran. Walau bagaimanapun, tidak semua murid autisme sesuai dengan penggunaan boneka tangan disebabkan faktor-faktor tertentu seperti tingkah laku, sensitiviti sentuhan, dan persekitaran. Sesetengah murid autisme memerlukan pendekatan yang berbeza untuk mencapai hasil yang sama. Kajian ini penting dalam memahami pedagogi pendidikan muzik khususnya dalam konteks pendidikan khas. Malah, kajian ini berperanan untuk memberikan panduan kepada guru dalam mengadaptasi kaedah pengajaran yang lebih efektif dan inklusif untuk murid autisme, memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada pendidikan muzik.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License.
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NonCommercial-NoDerivatives 4.0 International License