KEBERKESANAN PROGRAM PEMP DALAM MENINGKATKAN PENDAPATAN ISI RUMAH PESISIR PANTAI INDONESIA: KES KECAMATAN CILINCING, JAKARTA UTARA
Abstract
PEMP (Pemberdayaan Ekonomi Masyarakat Pesisir) yang dilancarkan pada 2001 adalah satu program awam yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah miskin yang tinggal di kawasan pesisir pantai Indonesia. Sehingga kini program tersebut masih belum menunjukkan kesan yang ketara ke atas isi rumah berkenaan. Makalah ini bertujuan untuk menilai impak program PEMP ke atas pendapatan isi rumah pesisir yang tinggal di Kecamatan Cilincing, Jakarta Utara. Menggunakan pelbagai rekod rasmi agensi berkaitan bersama dengan maklumat yang dikumpulkan melalui pemerhatian di lapangan, temu bual dan kaji selidik yang dilakukan antara April 2006 dan Disember 2007, kajian ini menemukan beberapa dapatan menarik. Antara dapatan yang penting termasuklah: (1) secara keseluruhannya tidak berlaku peningkatan pendapatan yang signifikan selepas isi rumah menyertai program PEMP; (2) tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pendapatan ketua isi rumah {t (220) = 8.322, p<.050} dan pendapatan isi rumah (t = -25.644, df = 157, p< .05) peserta PEMP dan bukan peserta PEMP; (3) tiada kesan yang signifikan program PEMP ke atas pendapatan isi rumah di kawasan pesisir Kecamatan Cilincing. Ujian statistik mengesahkan perkara ini (Compare Means Paired Samples T Test). Wujudnya masalah alam sekitar dan kenaikan harga bahan bakar serta ketiadaan kemudahan asas untuk membantu usaha mereka menyebabkan Program PEMP tidak berkesan meningkatkan pendapatan pesertanya. Secara umumnya kajian ini cenderung untuk menunjukkan bahawa, walau pun Departemen Kelautan dan Perikanan telah berjaya melaksanakan program PEMP seperti yang dapat diukur berdasarkan amaun yang diagihkan dalam bentuk pinjaman dan pelbagai agensi pelaksana yang ditubuhkan, namun prestasi keseluruhan agensi pelaksana yang terbabit dapat dikatakan sebagai lemah dan tidak cekap, dan program PEMP gagal mencapai objektifnya. Suatu polisi, strategi dan program yang sesuai perlu dibentuk bagi menggantikan program PEMP.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
-
_________________________________________________
eISSN 1823-884x
Faculty of Social Sciences & Humanities
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA
© Copyright UKM Press, Universiti Kebangsaan Malaysia