PERBANDINGAN KUALITI UDARA ANTARA KAWASAN PERINDUSTRIAN PASIR GUDANG DAN AKTIVITI PERTANIAN DI KOTA TINGGI, JOHOR
Abstract
Kualiti udara di dua tempat yang berbeza penggunaan guna tanah di Johor dikaji untuk mendapat kepastian sama ada terdapat perbezaan antaranya. Pasir Gudang didominasi oleh kegiatan perindustrian, dengan nilai Enhanced Vegetation Index (EVI) antara 0.14 hingga 0.16 mewakili kawasan yang kurang ketumpatan tumbuhan manakala EVI lebih tinggi antara 0.42 hingga 0.65 terdapat di Kota Tinggi. Data kualiti udara seperti zarah terampai (PM10), Indeks Pencemaran Udara (IPU), gas nitrogen dioksida, sulfur dioksida, ozon dan karbon monoksida dianalisis melalui kaedah statistik deskriptif dan ujian-t. Kualiti udara di Pasir Gudang ternyata lebih tercemar berbanding Kota Tinggi, kecuali untuk gas ozon yang lebih tinggi di Kota Tinggi kerana pelepasan bahan sebatian organik meruap daripada tumbuhan kelapa sawit menghasilkan ozon melalui reaksi kimia dalam kehadiran matahari. Selain itu, fenomena jerebu rentas sempadan pada tahun 2013 menyebabkan kemerosotan kualiti udara dengan bacaan tertinggi PM10 di Pasir Gudang sebanyak 459 µg/m3 berbanding 438 µg/m3 di Kota Tinggi, manakala bacaan tertinggi pada 2015 adalah 351 µg/m3 (Pasir Gudang) berbanding 244 µg/m3 di Kota Tinggi. Nilai harian tinggi ini melebihi had kriteria New Malaysian Ambient Air Quality Standard (2020) di samping mencapai tahap IPU merbahaya pada 2013 dan sangat tidak sihat pada 2015. Terdapat perbezaan kualiti udara antara kedua tempat ketika tiada jerebu, manakala sewaktu peristiwa jerebu pada 2013 nilai IPU dan PM10 adalah daripada populasi yang sama. Hasil kajian ini boleh membantu pihak pembuat dasar dan orang awam berkenaan betapa tercemarnya udara ambien apabila jerebu rentas sempadan berlaku yang memudaratkan kesihatan mereka di samping juga kesedaran terhadap tahap kualiti udara dalam keadaan tanpa jerebu.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
-
_________________________________________________
eISSN 1823-884x
Faculty of Social Sciences & Humanities
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA
© Copyright UKM Press, Universiti Kebangsaan Malaysia